KAI Havertz muncul wira lewat perlawanan bagi membantu Arsenal bangkit daripada kekecewaan domestik untuk mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sporting Lisbon dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada pagi Rabu.
Skuad kendalian Mikel Arteta tiba di Stadium Jose Alvalade dengan moral yang sedikit terjejas selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut di tangan Manchester City dalam final Piala Liga dan Southampton di peringkat suku akhir Piala FA, minggu lalu.
Sekali lagi, The Gunners dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka, namun ketangkasan penjaga gol, David Raya serta penyudah klinikal Havertz pada masa kecederaan memastikan kemenangan berpihak kepada kelab London itu.
Keputusan itu meletakkan Arsenal sebagai pilihan utama untuk melangkah ke separuh akhir menjelang aksi timbal balik di London Utara pada 15 April ini, walaupun Arteta mengakui pasukannya perlu meningkatkan prestasi jika mahu menjulang trofi Eropah buat kali pertama.
Dua kekalahan mengejut sebelum ini termasuk tunduk kepada pasukan divisyen dua, Southampton merupakan kali pertama Arsenal tewas berturut-turut musim ini.
“Kami perlu lebih tajam, pantas dan efisien untuk memecah benteng lawan apabila mereka bertahan.
“Kami mempunyai gol yang dibatalkan dan dua atau tiga peluang jarak dekat, namun kami kekurangan hantaran penyudah. Akhirnya, detik magis daripada pemain penyudah memenangi perlawanan ini buat kami,” kata Arteta selepas perlawanan.
Arteta turut menghamburkan pujian kepada Raya yang kembali beraksi selepas terlepas dua perlawanan sebelum ini.
“Dia melakukan dua penyelamatan besar. Dia memang luar biasa sejak menyertai kami. Kami sangat bertuah memilikinya,” tambah pengurus dari Sepanyol itu.
Kemenangan ini juga menjadi jawapan balas terbaik kepada kritikan yang mendakwa Arsenal kekurangan kekuatan mental untuk memenangi trofi utama sejak kali terakhir menjulang Piala FA pada 2020.
Walaupun tanpa khidmat pemain utama seperti Bukayo Saka, Jurrien Timber, Piero Hincapie dan Eberechi Eze akibat kecederaan, kepulangan Declan Rice memberikan kestabilan di bahagian tengah.
Sporting yang mempunyai rekod 17 kemenangan berturut-turut di laman sendiri hampir mendahului menerusi rembatan Maxi Araujo, namun Raya bertindak cemerlang menepis bola ke palang gol. Beliau juga sekali lagi mengecewakan Geny Catamo sebelum tamat separuh masa pertama.
Arsenal hanya berjaya melakukan percubaan tepat pertama pada minit ke-42 menerusi Martin Odegaard, namun permainan mula berubah selepas rehat apabila pelawat lebih agresif menekan kubu lawan.
Gol yang dicari-cari akhirnya tiba pada masa kecederaan hasil percaturan pemain gantian Arteta. Gabriel Martinelli melakukan hantaran lambung tepat melepasi pertahanan Sporting, membolehkan Havertz meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol, Rui Silva.
Kemenangan itu menyuntik semangat tambahan buat Arsenal yang kini turut mendahului carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan sembilan mata di hadapan Manchester City.



