Peguam beri amaran henti fitnah ibu Zara Qairina, sedia ambil tindakan undang-undang

Peguam beri amaran henti fitnah ibu Zara Qairina, sedia ambil tindakan undang-undang

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebar fitnah terhadap Noraidah Lamat dan keluarganya.

Menerusi kenyataan hari ini, barisan peguam diketuai Shahlah Jufri, berkata pihaknya memandang serius sebarang penyebaran, pengulangan atau penerbitan kenyataan fitnah terhadap Noraidah.

“Mana-mana pihak yang terus membuat atau menyebarkan tuduhan tidak berasas akan berdepan dengan tindakan undang-undang tanpa sebarang notis,” katanya.

Selain Shahlah, pasukan peguam mewakili ibu arwah Zara Qairina turut disertai Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Menerusi kenyataan itu lagi, mereka maklum mengenai hantaran dan komen beberapa pemilik akaun Facebook yang mengandungi tuduhan fitnah, gangguan dan penghinaan terhadap Noraidah dan keluarganya berhubung kematian Zara Qairina.

“Adalah dimaklumkan bahawa Puan Noraidah Lamat sudah membuat laporan polis pada 9 April 2026 terhadap pemilik akaun tersebut.

“Tuduhan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan fitnah serius yang menjejaskan reputasi serta kesejahteraan emosinya dan keluarga.

“Sebarang komen atau spekulasi yang melampaui batas adalah tidak wajar, berpotensi bersifat subjudis serta boleh mengganggu pentadbiran keadilan,” kata kenyataan itu.

Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, bersambung semula pada 13 hingga 17 April ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top