Stuttgart: Aryna Sabalenka terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Stuttgart bulan ini akibat kecederaan yang dialaminya selepas menjuarai Terbuka Miami pada Mac lalu.
Pemain nombor satu dunia itu mengakui sudah mencuba pelbagai cara untuk pulih, namun masih belum bersedia untuk kembali beraksi menjelang kejohanan di gelanggang tanah liat yang akan bermula 13 April ini.
“Malangnya saya mengalami kecederaan selepas Miami, dan walaupun sudah cuba sedaya upaya untuk pulih, saya belum bersedia untuk bertanding,” katanya menerusi Instagram.
Aryna memiliki rekod unik di Stuttgart apabila mara ke final sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun, namun masih gagal menjulang gelaran.
Dia sebelum ini tewas kepada Ashleigh Barty pada 2021, Iga Swiatek pada 2022 dan 2023 serta Jelena Ostapenko tahun lalu.
Terdahulu, Aryna mencipta kejayaan besar apabila menewaskan Coco Gauff 6-2, 4-6, 6-3 di final Terbuka Miami, sekali gus muncul antara pemain yang berjaya melengkapkan ‘Sunshine Double’ selepas turut menjuarai Indian Wells.
Dia turut mengakui kecewa terlepas peluang beraksi di Stuttgart yang disifatkannya sebagai antara kejohanan kegemaran, sekali gus menangguhkan permulaan kempen musim tanah liatnya tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




