mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan setakat ini tiada pembabitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan mafia korporat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan masih diteruskan dan setakat ini tiada pembabitan SPRM dalam siasatan kes mafia korporat yang sedang dijalankan.
“Beberapa individu sudah dikenal pasti termasuk berada di dalam serta luar negara.
“Arahan yang saya terima adalah untuk meneruskan siasatan jadi kita akan teruskan siasatan kerana ada beberapa individu yang perlu dipanggil,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi individu yang berada di luar negara perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) perlu dilakukan untuk memanggil mereka merakam keterangan.
“Kes ini masih berada pada peringkat awal siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan dimuktamadkan,” katanya.
Terdahulu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan serbuan ke atas beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit dengan ‘mafia korporat’.
Mohd Khalid dilaporkan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan membabitkan
“Tindakan juga sudah diambil di beberapa premis yang berkaitan dengan individu dikenali sebagai Victor,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sejumlah premis milik ahli perniagaan itu diserbu SC dan PDRM serta beberapa dokumen disita bagi membantu siasatan.
Susulan itu Victor dilapor berkata pihaknya menafikan pembabitan dirinya dalam mafia korporat seperti yang digembar gemburkan.
Menerusi kenyataan e-mel kepada agensi berita Bloomberg, dia tidak menafikan mengenai kewujudan kumpulan itu namun menafikan pembabitannya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Kabinet mengarahkan PDRM dan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan manipulasi korporat berkenaan.
Arahan itu dibuat di tengah-tengah gesaan meluas termasuk daripada menteri kanan kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




