mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Penjara mengesahkan insiden Orang Kena Tuduh (OKT) warga Pakistan meloloskan diri daripada kawalan polis selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku di pekarangan Penjara Sungai Buloh ketika proses penghantaran tahanan dijalankan.
Jabatan Penjara berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menahan semula OKT berkenaan.
Menurutnya, operasi pencarian giat dijalankan bersama pelbagai agensi keselamatan bagi memastikan individu terbabit dapat diberkas dalam masa terdekat.
“Semua agensi berkaitan dimaklumkan dan usaha mengesan OKT dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara menegaskan komitmennya untuk memastikan tahap keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati berlaku pelanggaran prosedur dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut berhubung insiden itu dijalankan,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan polis giat memburu seorang tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




