London: Arsenal menerima tamparan hebat dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 1-2 di laman sendiri kepada Bournemouth, sekali gus menghidupkan semula harapan Manchester City untuk mengejar pendahulu liga itu.
Pasukan pelawat mendahului di Stadium Emirates menerusi Junior Kroupi, namun anak buah Mikel Arteta menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Viktor Gyokeres pada penghujung babak pertama.
The Gunners membuat beberapa pertukaran untuk memantapkan serangan seawal babak kedua, namun gagal mencipta peluang ketika berdepan pasukan bimbingan Andoni Iraola yang tampil lebih tersusun dan berani.
Bournemouth kembali di depan pada minit ke-74 selepas gerakan menarik disudahkan oleh Alex Scott yang merembat bola menewaskan David Raya.
Arsenal cuba mencari gol penyamaan, namun akhirnya tewas, sekali gus kekalahan kedua mereka di laman sendiri musim ini.
Dengan enam perlawanan berbaki, Arsenal yang memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004 kini mendahului sembilan mata di depan City di tempat kedua.
Namun, skuad Pep Guardiola boleh merapatkan jurang kepada tiga mata jika menewaskan Chelsea FC dan mengatasi Arsenal dalam pertemuan penting di Etihad minggu depan.
Arsenal turun dengan semangat tinggi selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Sporting CP dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.
Namun mereka kelihatan perlahan berdepan Bournemouth yang mempamerkan corak permainan lebih tersusun sejak awal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




