am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan Pelindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 28 warga asing ketika memasuki pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, sejak 1 April hingga semalam.
Kesemua mereka ditolak kemasukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam pemeriksaan dan tapisan yang dilakukan sepanjang tempoh itu.
Daripada jumlah itu, seramai 14 orang adalah warga India yang terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusof berkata, mereka ditolak kemasukan kerana gagal memenuhi syarat sebagai pelancong, antaranya tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta tidak dapat memberikan tujuan perjalanan yang sahih ketika disoal oleh pegawai JIM.
Menurutnya, terdapat juga dalam kalangan mereka yang tersenarai dalam senarai syak jabatan yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia.
“Dalam pada itu, seramai lima warga Thailand turut ditolak kemasukan kerana pasport yang rosak serta tidak memenuhi syarat kemasukan selepas melalui proses tapisan imigresen.
“Selain itu, dua lelaki warga Bangladesh ditolak kemasukan kerana tidak dibenarkan menggunakan pintu masuk darat selaras dengan arahan semasa jabatan.
“Selebihnya, penolakan masuk turut membabitkan warga Myanmar, Sri Lanka, Taiwan dan Indonesia atas pelbagai ketidakpatuhan terhadap syarat kemasukan yang ditetapkan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fauzi berkata, kesemua individu yang ditolak kemasukan turut diarahkan untuk kembali semula ke negara terakhir mereka berlepas sebelum memasuki Malaysia oleh pegawai JIM bertugas.
Beliau berkata, AKPS akan terus memperketatkan kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan hanya pelawat yang memenuhi syarat sahaja dibenarkan memasuki Malaysia.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan kemudahan imigresen negara, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




