am@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, di sini, dipercayai masih berada dalam negara.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya sedang giat meneruskan usaha memburu lelaki berkenaan dengan skop pencarian masih tertumpu dalam negara.
Katanya, skop pencarian masih tertumpu dalam negara bagi menjejaki tahanan terbabit.
“Suspek masih belum ditangkap, pihak polis masih dalam tindakan mencari dan mengesan suspek itu.
“Skop pencarian suspek masih dalam negara,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis memperhebatkan operasi memburu tahanan itu yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh.
Mohd Hafiz dilaporkan berkata, operasi digerakkan pada skala lebih besar dengan bantuan pelbagai agensi bagi mengekang suspek daripada meloloskan diri keluar dari negara ini.
Tahanan berkenaan, Muhammad Hassan, 24, menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat, Seksyen 392 kanun sama bagi kesalahan merompak selain kesalahan imigresen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




