Trend rasuah kini makin kompleks, adaptif

Trend rasuah kini makin kompleks, adaptif

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bentuk penerimaan rasuah yang paling kerap digunakan kini tidak lagi terhad kepada wang tunai semata-mata, sebaliknya ia makin pelbagai dan terselindung.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, penerimaan rasuah kini bertukar kepada transaksi pindahan kewangan secara digital termasuk transaksi dalam talian, penggunaan akaun proksi serta pengaliran dana melalui pihak ketiga.

Menurutnya, ada juga yang menerima rasuah dalam bentuk barangan mewah seperti kenderaan, jam tangan, barang kemas dan aset bernilai tinggi.

“Ada juga yang menerima perkhidmatan dan kemudahan termasuk penajaan percutian, penginapan, hiburan, yuran pendidikan serta kemudahan gaya hidup lain.

“Ada juga yang menerima bayaran melalui aset digital dan mata wang kripto,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Beliau berkata, trend itu mencerminkan bahawa rasuah hari ini semakin kompleks dan adaptif.

“Justeru, SPRM memperkukuh pendekatan melalui siasatan berasaskan risikan, analisis forensik kewangan dan penggunaan teknologi bagi memastikan semua bentuk penerimaan rasuah dapat dikesan dan ditangani secara berkesan.

“SPRM juga tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan siasatan, pencegahan dan analisis risiko rasuah,” katanya.

Menurut Azam, penggunaan AI oleh SPRM tertumpu kepada analisis data berskala besar termasuk mengesan pola transaksi kewangan yang mencurigakan, hubungan antara individu atau entiti serta mengenal pasti sektor dan proses yang berisiko tinggi.

“Pendekatan ini membolehkan SPRM bertindak lebih pantas, tepat dan berasaskan bukti.

“Dalam aspek pencegahan dan tatakelola pula, teknologi AI digunakan untuk menyokong analisis risiko rasuah, penilaian pematuhan serta cadangan penambahbaikan sistem khususnya dalam bidang seperti perolehan dan pengurusan projek awam,” katanya.

Menurutnya, SPRM menegaskan bahawa AI berfungsi sebagai alat sokongan dan bukan pengganti pertimbangan profesional pegawai penyiasat.

“Setiap keputusan penting tetap dibuat berdasarkan undang-undang, semakan manusia dan prinsip keadilan.

“Pada masa yang sama, SPRM mengambil pendekatan berhati-hati dengan memastikan penggunaan AI mematuhi etika, tadbir urus data dan perlindungan hak asasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top