Ketua Tentera Laut Iran sindir ancaman Trump sekat Selat Hormuz

Ketua Tentera Laut Iran sindir ancaman Trump sekat Selat Hormuz

TEHERAN – Ketua Tentera Laut Iran menyifatkan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengenakan sekatan laut di Selat Hormuz sebagai ‘sangat mengarut dan melucukan’.

Komander Tentera Laut Iran, Shahram Irani berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap pergerakan armada tentera AS di rantau berkenaan.

“Anggota Tentera Laut Republik Islam Iran sentiasa menjejaki dan memantau semua pergerakan tentera AS yang bersifat agresif di rantau ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan media Iran pada Isnin.

Beliau turut menyifatkan ancaman Trump itu sebagai tidak berasas, khususnya selepas apa yang didakwanya sebagai ‘kekalahan memalukan’ tentera AS dalam konflik terkini.

Sebelum ini,Trump dilaporkan mengarahkan Tentera Laut AS untuk menyekat Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia.

Arahan itu dibuat selepas rundingan peringkat tinggi antara Iran dan AS di Islamabad berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Trump turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang membayar tol kepada Iran akan dihalang di perairan antarabangsa.

Sejak konflik antara AS dan Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari lalu, Teheran telah memperketatkan kawalan ke atas Selat Hormuz.

Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) sebelum ini menegaskan laluan itu tidak akan kembali seperti keadaan asal, khususnya bagi kapal yang berkaitan dengan AS dan Israel.

Iran dilaporkan hanya membenarkan kapal dari negara yang dianggap sahabat untuk melalui laluan tersebut, manakala kapal yang dikaitkan dengan negara yang dianggap musuh disekat.

Parlimen Iran juga sedang mempertimbangkan rang undang-undang bagi mengenakan bayaran transit dalam mata wang tempatan serta melarang kapal milik AS dan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan telah melancarkan ratusan peluru berpandu balistik dan hipersonik serta dron ke atas pangkalan tentera AS di Asia Barat dan kedudukan Israel di wilayah Palestin.

Sementara itu, Timbalan Presiden AS, JD Vance berkata, selepas rundingan selama lebih 21 jam di Islamabad, keputusan kini bergantung kepada Iran untuk menerima tawaran ‘terbaik dan terakhir’ Washington.

Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menuduh AS bersikap tidak konsisten dan meletakkan syarat yang berubah-ubah ketika rundingan hampir mencapai persetujuan.

Ketegangan berterusan di Selat Hormuz itu dilihat berpotensi memberi kesan besar kepada perdagangan global, memandangkan laluan tersebut merupakan antara saluran utama penghantaran minyak dunia.-Agensi

Scroll to Top