Pemandu Myvi tular sebabkan kemalangan dipercayai khayal vape

Pemandu Myvi tular sebabkan kemalangan dipercayai khayal vape

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemandu yang tular dipercayai memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan di Jalan Kampung Belukar Jambu, di sini, Selasa lalu, dipercayai berada di bawah pengaruh vape ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan tiada pembabitan dadah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan terbabit.

Katanya, pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun yang dikatakan berada di bawah pengaruh vape ketika kejadian sudah menjalani ujian saringan air kencing dan keputusannya adalah negatif.

“Saya mengesahkan tiada pembabitan dadah seperti ditularkan.

“Ujian air kencing suspek juga didapati negatif, manakala pemeriksaan di rumah suspek juga tidak sebarang dadah ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 6.30 petang apabila Perodua Ativa dipandu seorang guru berusia 29 tahun dari arah Kampung Bukit menuju ke Tok Molor, di sini dirempuh sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan yang tiba-tiba memasuki laluannya.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata, kes hanya dilaporkan kepada polis jam 8.19 malam selepas kejadian itu tular di media sosial.

Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi yang bekerja sebagai pembantu kedai makan turut menggunakan lesen memandu yang sudah tamat tempoh.

“Polis mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit mengikut Rule 10 LN166/59 kerana gagal mengawal kenderaan dan Rule 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana lesen memandu tamat tempoh.

“Saya memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian sendiri tanpa fakta yang tepat,” katanya.

Kes diklasifikasikan mengikut Rule 10 LN166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top