FTISLAND bakal kembali gegar Kuala Lumpur

FTISLAND bakal kembali gegar Kuala Lumpur

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan rock Korea Selatan, FTISLAND bakal kembali menggegarkan ibu kota menerusi siri jelajah 2026 FTISLAND TOUR 0 – XIX – III FaTe di Zepp Kuala Lumpur, 25 Julai depan.

Ia menandakan tahun ketiga berturut-turut kumpulan berkenaan mengadakan persembahan di Malaysia sejak 2024, sekali gus membuktikan sokongan padu peminat setia mereka, PRIMADONNAS.

Penganjur dalam kenyataan media menjelaskan judul jelajah kali ini membawa maksud sangat mendalam buat peminat dan band itu.

“Judul jelajah FaTe membawa makna istimewa mengenai hubungan antara FTISLAND dan peminat, menggambarkan ikatan yang terjalin bukan sekadar kebetulan, tetapi sebuah takdir yang menyatukan mereka sepanjang perjalanan muzik ini,” kata kenyataan itu.

Menjelang hampir dua dekad pembabitan mereka dalam industri muzik sejak debut pada 2007, FTISLAND yang dianggotai oleh Lee Hong Gi, Lee Jae Jin dan Choi Min Hwan terus mempertahankan reputasi hebat mereka sebagai pelopor utama arena rock Korea Selatan.

Kumpulan ini amat dikenali dengan versatiliti muzik yang menggabungkan kemahiran teknikal bersama emosi.

“Keunikan mereka turut terserlah menerusi vokal bertenaga Lee Hong Gi, digabungkan dengan elemen rock balada yang menjadi identiti muzik FTISLAND.

“FTISLAND bakal membawa peminat menyelami pengalaman konsert yang lebih misteri dan sofistikated dengan elemen visual bercirikan diraja serta ‘celestial’.

“Jelajah ini melambangkan evolusi baharu mereka sebagai Kings of K-Rock sekali gus menjanjikan persembahan luar biasa yang bakal menggegarkan ibu kota Kuala Lumpur,” katanya.

Tiket akan mula dijual secara eksklusif pada 5 Jun ini, bermula dari 2026 RM398 hingga RM798 mengikut kategori.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top