am@hmetro.com.my
Kuantan: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 kepada seluruh pengamal media dan wartawan di negara ini.
Baginda berdua menzahirkan penghargaan atas jasa serta pengorbanan para wartawan yang sentiasa komited dalam menyampaikan maklumat tepat, sahih dan berintegriti kepada masyarakat.
Baginda turut menyanjung tinggi peranan media sebagai medium penting dalam memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan semangat patriotisme serta menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.
“Dalam pada itu, baginda berdua berharap seluruh pengamal media akan terus mengamalkan kewartawanan beretika, profesional dan bertanggungjawab.
“Ia selaras dengan perkembangan teknologi serta cabaran dunia komunikasi masa kini, ” menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Baginda turut mendoakan agar semua wartawan dan pengamal media sentiasa dikurniakan kesejahteraan, keselamatan serta terus cemerlang dalam menjalankan amanah kepada agama, bangsa dan negara.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan terima kasih atas dedikasi, keberanian dan komitmen dalam menyampaikan informasi yang sahih, tepat dan berintegriti kepada masyarakat.
Katanya, peranan media amat penting sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, di samping menjadi suara yang membawa isu, aspirasi serta denyut nadi rakyat.
“Semoga petugas media terus cekal menjalankan amanah demi memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memacu pembangunan negara,” katannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




