Singapura: Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan akan mempertimbangkan penjualan misil kepada Malaysia, sebagai penyelesaian kepada isu yang dihadapi negara berhubung perolehan sistem persenjataan itu dari Norway, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perkara itu disuarakan oleh Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth, dalam pertemuan dua hala yang diadakan di sela-sela Dialog Shangri-La (SLD) IISS ke-23 di sini, yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad.
Mohamed Khaled berkata beliau turut memaklumkan kepada Hegseth mengenai isu yang dihadapi Malaysia berkaitan pembelian NSM dari Norway, serta mendapatkan pandangan AS mengenai perkara itu.
“Kita telah meminta pandangan AS bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi, kerana seperti yang sedia maklum, terdapat sebuah syarikat AS yang mengeluarkan misil yang sama seperti Norway.
“Kita telah bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil itu kepada kita bagi menangani masalah yang dihadapi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitannya atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata AS turut mencadangkan perkongsian maklumat berkaitan Maritime Domain Awareness (MDA) yang dilaksanakan Malaysia.
Dalam perkembangan lain, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles, bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata kerjasama itu meliputi penubuhan Joint Planning Committee, perluasan perkongsian maklumat serta persiapan menjelang mesyuaratHigh Level Committee (HLC) Malaysia-Australia dan Five Power Defence Arrangements (FPDA) akan datang.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Australia atas pelaksanaan National Defence Strategy 2026 (NDS 2026) dan Integrated Investment Program 2026 (IIP 2026) sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanannya,” katanya.
Mengenai Kanada, Mohamed Khaled berkata Malaysia dan negara itu bersedia memperkukuh hubungan pertahanan menerusi kerjasama yang lebih formal.
“Kita mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk kerjasama pertahanan secara formal yang ditandatangani oleh kedua-dua negara, kerana ketika ini kerjasama yang ada tidak berasaskan mana-mana perjanjian,” katanya.
Dialog Shangri-La IISS 2026 yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Hotel Shangri-La Singapura, menghimpunkan menteri pertahanan, ketua angkatan tentera dan diplomat dari puluhan negara bagi membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau serta global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




