Nabila Razali Terima Permohonan Maaf Individu Gelar ‘Chipmunk’ Secara Berhadapan – “Mungkin Dia Terlalu Teruja Atau…”

Nabila Razali Terima Permohonan Maaf Individu Gelar ‘Chipmunk’ Secara Berhadapan – “Mungkin Dia Terlalu Teruja Atau…”

Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mendedahkan individu yang sebelum ini menggelarnya sebagai ‘suara chipmunk’ sudah tampil memohon maaf secara peribadi.

Menurut pelantun lagu Tak Sabar Nak Raya itu, individu berkenaan menghubunginya melalui mesej peribadi selepas dia berkongsi pengalaman di Threads.

“Lepas saya kongsi perkara itu di Threads, dia terus hubungi saya untuk minta maaf dan terangkan situasi sebenar. Katanya, dia tak berniat untuk menyakitkan hati.

“Suami dia pun sudah menegur tindakan tersebut sejurus selepas kejadian. Pada saya, mungkin dia terlalu teruja atau tak tahu nak borak apa sampai terlepas cakap,” katanya kepada XTRA.

Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu menegaskan kepentingan menjaga tutur kata walau dalam apa jua situasi.

“Saya tak perlukan layanan istimewa. Sama ada artis atau orang biasa, kita semua kena jaga cara bercakap dan cara kita bertindak.

“Ada benda yang kita anggap gurauan, tapi sebenarnya boleh beri kesan besar kepada orang lain,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nabila mengakui dia bukan kali pertama berdepan ejekan, namun situasi kali ini memberi impak berbeza kerana berlaku secara bersemuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali Terkejut Peminat Gelar ‘Artis Suara Chipmunk’ Ketika Mahu Bergambar – “Dah Berkurang Ke Orang Cakap Berlapik Ni?”

“Sebelum ini saya biasa baca komen macam itu di media sosial, jadi dah boleh kawal perasaan.

“Tapi bila terjadi depan mata, saya memang terkejut dan tak tahu nak respons macam mana. Rasa bercampur, nak ketawa pun ada, nak marah pun ada, akhirnya saya pilih untuk diam,” katanya lagi.

Sebelum ini, Nabila meluahkan rasa kurang selesa apabila seorang individu memanggilnya ‘penyanyi bersuara chipmunk’ sebelum mengajaknya bergambar, sekali gus menarik perhatian ramai di media sosial.

Scroll to Top