firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain tengah Selangor FC (SFC), Alex Agyarkwa dilihat berpotensi untuk dipertimbangkan sebagai pemain naturalisasi selepas lima musim beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemain itu sememangnya berada dalam perancangan jangka panjang kelab sejak awal lagi, sekali gus membuka ruang untuk dinilai dalam konteks lebih besar termasuk skuad kebangsaan.
Menurutnya, Agyarkwa dibawa masuk ke SFC ketika usia masih muda dan mempunyai potensi besar untuk berkembang jika diberi peluang sewajarnya.
“Alex (Agyarkwa) ini memang beberapa tahun lepas masa kita ambil dia memang itu pelan jangka panjang.
“Masa kita ambil dia umur dia masih muda, sekitar 20 tahun kalau tak silap saya,” katanya.
Beliau menjelaskan, tempoh lima musim beraksi di Malaysia menjadikan Agyarkwa antara pemain yang sudah cukup serasi dengan suasana bola sepak tempatan dan tidak mustahil untuk dipertimbangkan dalam proses naturalisasi sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
Katanya, dengan pengalaman serta pendedahan yang dimiliki, pemain itu mampu menjadi nilai tambah sekiranya diberi peluang lebih luas termasuk di peringkat lebih tinggi.
“Sekiranya perlu dan sesuai, dia seorang pemain yang bagus dan InsyaAllah kita akan pergi ke arah itu,” katanya.
Dalam masa sama, Shahril menegaskan aspek paling penting ketika ini adalah memberi lebih banyak minit permainan kepada Agyarkwa bagi memastikan perkembangannya tidak terbantut.
“Cuma dia perlu diberi peluang bermain lebih banyak, itu yang saya nampak,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemain kelahiran Ghana itu bukanlah pemain terbaik dalam skuad ketika ini, namun dia disifatkan berada dalam kelompok opsyen utama yang mampu menyumbang kepada pasukan.
“Bukan saya kata dia yang terbaik, tapi dia adalah antara opsyen yang terbaik dan itu yang saya nampak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




