Lagu Pernah Gagal Tembus Ke Separuh Akhir AJL, Wani Kayrie Faham Rasa Kecewa Rakan Industri

Lagu Pernah Gagal Tembus Ke Separuh Akhir AJL, Wani Kayrie Faham Rasa Kecewa Rakan Industri

Penyanyi, Wani Kayrie tidak ketinggalan menyuarakan sokongan buat rakan-rakan industri yang terkandas daripada mara ke peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) yang bakal berlangsung Khamis dan Jumaat ini.

Menurut Wani atau nama lengkapnya,  Syazwani Abdullah, 26, perasaan kecewa itu bukan sesuatu yang asing kerana dia sendiri pernah melalui situasi sama suatu ketika dahulu.

“Saya faham sangat perasaan itu sebab pernah berada di tempat mereka. Waktu itu, saya tengok orang lain pula yang berjaya.

“Memang akan rasa sedih bila lagu sendiri tak lepas, tapi orang lain yang dapat peluang. Itu lumrah.

“Namun, semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing menerusi penilaian juri dan undian yang kita tidak pernah tahu,” katanya.

Wani berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka ASIA di Studio 38, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Mengulas lebih lanjut, Wani berkata setiap karya yang dihasilkan datang bersama pengorbanan besar, justeru rasa kecewa itu cukup berasas.

“Kita dah curahkan tenaga, masa, siap keluarkan modal yang besar untuk hasilkan lagu dan promosi. Jadi bila tengok kawan-kawan kecewa, saya cuba bagi kata semangat supaya mereka terus kuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wani mengakui dia memilih untuk lebih berhati-hati dalam meletakkan harapan terhadap peluang lagunya berjuduk Cak Cak Cekuk untuk ke pentas akhir AJL40.

“Bukan tak yakin, cuma saya tak nak letak harapan terlalu tinggi. Kalau tak jadi nanti, kecewanya akan lebih terasa.

“Bukan saya saja, tapi orang yang sokong lagu ini pun akan rasa sama. Jadi saya lebih selesa bersederhana, tapi tetap berharap yang terbaik,” jelasnya.

Terdahulu, Wani turut mencuri perhatian apabila meninggalkan kata-kata semangat di Threads buat rakan-rakan seperjuangannya yang tidak berjaya ke peringkat separuh akhir AJL40.

Scroll to Top