Kolaborasi Bersama Ucie Sucita, Nadia Rosli Tampil Dengan ‘Aduh Gak Kuat’

Kolaborasi Bersama Ucie Sucita, Nadia Rosli Tampil Dengan ‘Aduh Gak Kuat’

Penyanyi muda Nadia Rosli kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul Aduh Gak Kuat, hasil kolaborasi bersama artis Indonesia, Ucie Sucita.

Lagu ini mengetengahkan gabungan elemen hipdut yang ceria dan bertenaga, sekali gus menampilkan sisi lebih santai dan playful dalam perjalanan seni Nadia.

Lagu ini ditulis oleh Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra, yang sebelum ini dikenali menerusi karya seperti “Ngga Dulu,” “Calon Mantu Idaman,” dan “Kasih Tau Mama”. Ia turut digubah bersama Aji Suherri yang berperanan sebagai penerbit dan penyusun muzik.

Dengan gabungan elemen romantik yang ringan dan susunan muzik yang rancak, Aduh Gak Kuat tampil sebagai lagu yang mudah melekat di telinga.

Mengangkat tema pengakuan cinta, lagu ini mengisahkan perasaan seseorang yang terlalu jatuh cinta sehingga tidak mampu lagi menyembunyikan isi hati. Liriknya yang bersahaja, diselitkan dengan elemen gurauan dan flirting seperti “gunting, batu, kertas dulu, kalau aku menang, kita ke penghulu”, menjadikan keseluruhan naratif lebih segar dan menghiburkan.

Menurut Nadia, antara kekuatan utama lagu ini terletak pada susunan muzik yang berpotensi mencetuskan trend di media sosial.

“Lagu ini ada elemen hype beat yang boleh jadi trend, terutama di bahagian catchy yang sesuai untuk ‘velocity trend’ di TikTok. Saya rasa itu antara faktor yang boleh buat lagu ini mudah viral,” katanya.

Dalam masa sama, Nadia turut berkongsi mesej yang ingin disampaikan melalui lagu tersebut, iaitu keberanian untuk meluahkan perasaan.

“Bagi saya, penting untuk berani cakap apa yang kita rasa supaya kita tahu sama ada perasaan itu berbalas atau tidak. Ia juga elakkan kita simpan terlalu lama. Bukan soal diterima atau ditolak, tapi tentang jujur dengan diri sendiri,” katanya.

Bagi memastikan emosi lagu ini dapat disampaikan dengan baik, Nadia memilih untuk membina mood rakaman dengan membayangkan detik-detik gembira dalam hidupnya.

“Saya bayangkan momen ceria dengan keluarga dan kawan-kawan supaya vibe lagu ini lebih hidup. ‘Aduh Gak Kuat’ memang perlukan tenaga yang fun dan positif,” ujarnya.

Nadia juga mengakui terbuka untuk terus meneroka pelbagai genre muzik sebagai sebahagian daripada perkembangan kerjayanya. “Saya memang terbuka untuk cuba pelbagai genre. Saya nak terus explore supaya kekal relevan dan tak berada dalam zon selesa,” katanya.

Menerusi Aduh Gak Kuat, Nadia berharap lagu ini mampu memberi kesan positif kepada pendengar, terutama mereka yang sedang melalui fasa mencabar.

“Saya harap lagu ini boleh menceriakan mereka yang sedang sedih dan buat mereka kembali tersenyum,” katanya.

Dengan melodi yang segar, lirik yang ringan dan tenaga yang positif, Aduh Gak Kuat dilihat sebagai satu lagi langkah penting buat Nadia dalam mengukuhkan nama dalam industri muzik serantau. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

Scroll to Top