Zoey Rahman intai peluang seimbangkan kerjaya seni dan perniagaan

Zoey Rahman intai peluang seimbangkan kerjaya seni dan perniagaan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Zoey Rahman menafikan dakwaan dia sudah meninggalkan dunia lakonan selepas beralih kepada bidang pelaburan dalam talian yang berlandaskan prinsip patuh syariah.

Zoey atau nama sebenarnya, Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata, bidang baharu yang diceburinya itu menawarkan fleksibiliti, kerana boleh dilakukan tanpa terikat dengan lokasi atau masa tertentu.

“Sebenarnya, pelaburan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jadi, saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin supaya tidak mengganggu urusan lain.

“Walaupun serius mencuba bidang baharu, tetapi tidaklah saya tinggalkan kerjaya seni. Cuma kena pandai mencari peluang supaya kedua-duanya bergerak seiring,” katanya.

Mengulas lanjut, kata pelakon drama Tuan Rumah Pembantu Rumah itu, ketidaktentuan ekonomi global ketika ini juga antara faktor utama yang mendorongnya untuk meneroka bidang baharu.

“Sebenarnya, saya ceburi bidang ‘trading’ adalah disebabkan macam-macam krisis dunia sekarang termasuklah perang di Timur Tengah, harga minyak naik dan sebagainya.

“Saya rasa pada waktu sekarang kena buat sesuatu dan akhirnya bertemu dengan pengasas Prediktable iaitu Hasmawatie (Kak Tie) yang memperkenalkan saya dengan kerjaya baharu ini (trading) sekali gus menjadi rakan strategik akademi itu yang sudah beroperasi selama tiga tahun,” katanya.

Tambah Zoey lagi, dia memilih menceburi bidang pelaburan untuk kehidupan yang lebih selesa serta membantu keluarga.

Sementara itu, Hasmawatie berkata, terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai perdagangan futures dan forex.

Katanya lagi, produk futures di bawah Prediktable merujuk kepada kontrak kewangan yang membabitkan pembelian atau penjualan aset pada masa akan datang, khususnya dalam komoditi seperti emas, minyak, gas dan sebagainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top