Jakarta: Aplikasi media sosial, TikTok telah menyahaktifkan 780,000 akaun milik pengguna di bawah umur 16 tahun di Indonesia sebagai mematuhi peraturan perlindungan kanak-kanak kerajaan PP Tunas dalam ruang digital.
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid berkata TikTok menjadi platform digital pertama yang melaporkan tindakan penguatkuasaan di bawah peraturan baharu yang mengawal operasi sistem elektronik untuk perlindungan kanak-kanak.
“Ini ialah kemenangan awal untuk orang ramai, ibu bapa, anak-anak di Indonesia dan sekali lagi kami menghargai TikTok kerana melaporkan awal mengenai jumlah akaun yang berjaya ditutup,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA, pada Selasa.
Indonesia secara rasmi melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun susulan mula melaksanakan PP Tunas pada 28 Mac, dasar yang mewajibkan penyahaktifan berperingkat akaun milik pengguna bawah umur pada platform berisiko tinggi.
Menzahirkan penghargaannya, Meutya berkata TikTok telah menunjukkan komitmennya dengan menyerahkan surat pematuhan rasmi kepada kerajaan dan melaksanakan langkah-langkah yang digariskan dalam peraturan dan peraturan terbitan.
Beliau berkata TikTok turut mengemas kini dasar platformnya untuk menetapkan umur pengguna minimum 16 tahun, dengan pelarasan lanjut akan dilancarkan secara beransur-ansur.
Menteri berkenaan juga menggalakkan platform digital lain untuk mengikut langkah TikTok dalam melaporkan bilangan akaun milik kanak-kanak bawah 16 tahun yang telah dinyahaktifkan.
Sehingga kini, enam daripada lapan platform dalam fasa awal pelaksanaan PP Tunas telah mengisytiharkan pematuhan iaitu X, Bigolive, Instagram, Facebook, Threads dan TikTok.
Sementara itu, Roblox dan YouTube masih dikategorikan sebagai platform yang tidak mematuhi sepenuhnya peruntukan PP Tunas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




