TEHERAN – Selat Hormuz bukan sekadar laluan perkapalan di peta dunia, sebaliknya merupakan nadi ekonomi tenaga global serta aset strategik utama bagi Iran dalam mencorakkan keseimbangan kuasa di rantau Teluk dan peringkat antarabangsa.
Bagi Teheran, selat yang menghubungkan Teluk Parsi dan Teluk Oman itu bukan hanya perlu dipantau atau dipertahankan, malah dilihat sebagai instrumen penting untuk melaksanakan kawalan strategik yang mampu memberi tekanan ekonomi kepada pihak lawan serta memaksa mereka berunding atau menerima syarat yang ditetapkan.
Selat Hormuz mengendalikan sekitar 20 hingga 25 peratus perdagangan minyak laut global setiap hari, selain lebih 20 peratus perdagangan gas asli cecair (LNG).
Justeru, sebarang gangguan di laluan ini berpotensi mencetuskan kesan besar terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.

Sebuah roket dilancarkan dari bot semasa latihan ketenteraan oleh anggota IRGC dan tentera laut di Selat Hormuz pada Februari 2026. Foto AFP
Dari sudut geografi, laluan paling sempit Selat Hormuz hanya kira-kira 39 kilometer lebar, dengan laluan perkapalan utama terletak dalam kawasan perairan Iran dan Oman.
Keadaan ini memberikan kelebihan besar kepada Iran untuk memantau serta mempengaruhi trafik maritim di kawasan tersebut.
Iran turut memiliki garis pantai sepanjang lebih 1,600 kilometer di sepanjang Teluk Parsi dan Laut Oman, termasuk beberapa pulau strategik yang berfungsi sebagai titik kawalan semula jadi.
Kedudukan ini menyukarkan mana-mana kuasa luar untuk menguasai kawasan berkenaan tanpa kos ketenteraan dan logistik yang sangat tinggi.
Tidak sama dengan terusan buatan
Berbeza dengan terusan buatan seperti Terusan Suez atau Terusan Panama, Selat Hormuz merupakan satu-satunya laluan semula jadi bagi eksport minyak mentah, LNG dan bahan kimia dari Teluk Parsi ke pasaran global.

Seorang individu menunjukkan paparan laman web Marinetraffic yang memaparkan pergerakan kapal dagang di pinggir Selat Hormuz berhampiran pesisir Iran. Foto AFP
Tiada alternatif praktikal atau ekonomik untuk menggantikannya, menjadikan laluan ini amat kritikal.
Dari perspektif undang-undang antarabangsa, status Selat Hormuz tertakluk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Melangkaui pelbagai sektor
Rantau Teluk, termasuk Iran, merupakan antara pengeluar utama baja urea dunia.
Sebarang gangguan di Selat Hormuz boleh meningkatkan harga baja global sehingga 25 hingga 30 peratus, sekali gus menjejaskan pengeluaran makanan dan keselamatan makanan di banyak negara.
Dalam konteks strategi ketenteraan, Iran mengamalkan pendekatan asimetrik dengan keupayaan menggunakan peluru berpandu anti-kapal, dron jarak jauh serta sistem radar bersepadu bagi mengawal selat tanpa memerlukan kehadiran armada besar secara berterusan.
Pendekatan ini membolehkan Iran memberi tekanan ekonomi kepada pihak lawan tanpa perlu terlibat dalam konflik berskala besar, selain meningkatkan keupayaan pencegahan negara itu.

Seorang wanita berjalan melepasi sebuah papan iklan gergasi yang memaparkan tulisan Selat Hormuz kekal ditutup di Dataran Revolusi, Teheran. Foto AFP
Selain itu, Iran juga dilihat berusaha memperkenalkan sistem kawalan laluan secara terpilih, termasuk cadangan mengenakan bayaran transit serta penggunaan mata wang alternatif selain dolar Amerika Syarikat bagi urusan perdagangan di selat tersebut.
Strategi ini bukan sahaja berpotensi menjana sumber pendapatan baharu, malah mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan Barat serta memperkukuh kedudukan ekonomi Iran dalam jangka panjang.
Berupaya goncang ekonomi dunia
Penganalisis turut berpandangan bahawa ancaman untuk menyekat Selat Hormuz sahaja sudah cukup untuk menggoncang ekonomi global, termasuk mencetuskan lonjakan harga tenaga, inflasi serta ketidaktentuan pasaran.
Secara keseluruhan, gabungan faktor geografi, undang-undang, ekonomi dan ketenteraan menjadikan Selat Hormuz sebagai aset strategik yang sukar dicabar oleh mana-mana kuasa dunia. – Agensi



