Tiada pelanggaran SOP konvoi pengiring banduan – Jabatan Penjara Malaysia

Tiada pelanggaran SOP konvoi pengiring banduan – Jabatan Penjara Malaysia

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia menafikan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi pengiringan banduan ke mahkamah seperti didakwa menerusi video tular hari ini.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, operasi pada 14 April itu membabitkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah serta hospital sekitar Lembah Klang.

Katanya, konvoi berkenaan terdiri daripada dua bas dan sebuah van yang bertindak sebagai kenderaan pendahulu dengan pergerakan dilakukan secara teratur menggunakan lampu mata arah serta siren bagi tujuan keselamatan.

“Sepanjang perjalanan, jarak antara kenderaan dikekalkan secara konsisten dan tidak terputus mengikut prosedur pengiringan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, berlaku insiden kerosakan teknikal membabitkan salah sebuah bas sejurus selepas konvoi bergerak menyebabkan kenderaan itu tidak dapat meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, susulan kejadian itu, pegawai bertugas memutuskan konvoi utama meneruskan perjalanan bagi memastikan penghantaran banduan ke mahkamah berjalan mengikut jadual tanpa menjejaskan urusan perbicaraan.

“Pergerakan konvoi turut membabitkan pemisahan laluan yang dirancang apabila kenderaan pendahulu meneruskan perjalanan ke hospital manakala bas pengiring bergerak ke mahkamah yang ditetapkan.

“Semua pergerakan ini adalah selaras dengan perancangan operasi dan keperluan logistik semasa,” katanya.

Jabatan itu menegaskan tiada pelanggaran SOP berlaku dan setiap tindakan pegawai adalah berlandaskan pertimbangan keselamatan, keutamaan operasi serta situasi semasa di lapangan.

Menurutnya, semakan dalaman akan tetap dilaksanakan bagi menilai keseluruhan operasi dan memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej serta integriti jabatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top