nurul_husna@mediaprima.com.my
Ramai peminat haiwan eksotik tertarik untuk memelihara landak mini, dengan kebanyakannya jenis ‘African Pygmy Hedgehog’ kerana faktor penjagaannya yang mudah.
Berbeza dengan kucing atau anjing, landak mini ialah haiwan insektivor (pemakan serangga) dan bersifat nokturnal.
Ini bermakna, haiwan ini paling aktif pada waktu malam dan tidur pada waktu siang.
Secara amnya, landak mini adalah selamat, namun ada beberapa perkara yang perlu diteliti pemiliknya.
Ia termasuk ciri duri yang tidak berbahaya dan tidak beracun tetapi masih boleh menyakitkan jika tidak tahu untuk mengendalikannya atau memegangnya dengan cara yang betul.
Pada masa sama, apabila rasa terancam, landak mini akan menggulung badannya menjadi bola berduri.
Itulah daya penarik dimiliki landak mini yang menjadi kegilaan pencinta dan juga pemilik haiwan eksotik.
Seperti haiwan peliharaan lain, pemilik hedgehog perlu tahu cara menjinakkan haiwan itu.
Berikut saranan pakar berkaitan kaedah menjinakkan landak mini supaya mudah dikendalikan.
1. Beri masa kepada landak mini
Apabila baru dibawa balik, biarkan landak menyesuaikan diri di kandang selama satu hingga dua hari tanpa diganggu.
2. Kenali bau
Letakkan helaian baju lama anda yang sudah dipakai ke dalam kandang supaya landak terbiasa dengan bau badan anda.
Bau yang asing atau baru biasanya menyebabkan tekanan dan membuatkan landak mini lebih berjaga-jaga.
3. Cara mengangkat
Jangan tangkap daripada atas. Perlahan-perlahan ‘sauk’ landak peliharaan dari bawah perut dengan kedua-dua belah tangan yang terbuka.
Gunakan kain lembut jika masih takut terkena duri.
4. Interaksi rutin
Pegang landak selama 15 hingga 30 minit setiap hari, terutamanya pada waktu malam apabila ia bangun.
Boleh juga suap landak mini dengan serangga untuk bantu tingkatkan rasa suka haiwan itu terhadap pemiliknya.
Biarkan landak mini meneroka badan anda. Lama-kelamaan, duri akan mendatar dan gulungan terbuka.
Sebaik landak mini mula meneroka, ia menunjukkan haiwan itu selesa dan sudah siap boleh dipegang.
5. Pantau
Ia merujuk kepada pemilik yang membelikan landak duri untuk anak bermain dan pelihara.
Kanak-kanak ada kecenderungan memicit apabila melihat sesuatu yang comel.
Bola landak mini contoh paling dekat, pantau anak supaya tidak memicit sebarangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




