Anggota polis cedera diserang lelaki berparang ketika serbuan dadah

Anggota polis cedera diserang lelaki berparang ketika serbuan dadah

am@hmetro.com.my

Melaka: Serbuan polis di Tanjung Kling, di sini, bertukar cemas apabila seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan menyerang anggota polis menggunakan parang.

Kejadian pada 9 malam Khamis lalu berlaku ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjalankan operasi hasil risikan berkaitan dadah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, situasi bertukar tegang apabila seorang suspek lelaki tiba-tiba membuat ugutan sebelum menyerang anggota polis dengan sebilah parang panjang.

“Suspek berusia 31 tahun itu bertindak agresif ketika serbuan dijalankan.

“Individu itu turut menyerang seorang anggota polis sebelum melarikan diri, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, serangan itu menyebabkan anggota berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan bengkak pada ibu jari tangan kiri.

Beliau berkata, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Melaka di Ayer Keroh hari ini atas enam pertuduhan membabitkan Seksyen 324, 506 dan 186 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Selain itu, lelaki berkenaan turut berdepan pertuduhan lebih berat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam.

“Individu itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan kesalahan memiliki dadah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top