mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengarah pusat pendidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bergelar Datuk kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta untuk tujuan peribadi.
Perintah reman selama lima hari sehingga 19 April ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2023 hingga tahun lalu dan ketika itu dia menjawat jawatan sebagai pengarah IPTA terbabit.
“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terbabit secara langsung dengan pusat pendidikan berkenaan dan menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Tambah sumber, susulan daripada siasatan itu, SPRM membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, siasatan menjurus kepada siasatan jenayah dan tatakelola.
© New Straits Times Press (M) Bhd




