Jing Xuan raih perak di Terbuka Singapura

Jing Xuan raih perak di Terbuka Singapura

PETALING JAYA: Atlet rejam lembing kebangsaan, Ng Jing Xuan membuka tirai musim ini dengan langkah kanan apabila meraih perak di Terbuka Singapura, hari ini.

Jing Xuan mengesahkan pingat perak selepas melakukan catatan 48.49 meter (m) pada percubaan kelima tewas kepada Atinna Nurkamil Bahtiar dari Indonesia dengan rejaman 49.86m manakala gangsa milik rakan senegaranya, Kresensia Mobok Ndiken (41.15m).

Begitu pun, itu bukanlah pencapaian terbaik Jing Xuang memandangkan dia sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan ketika beraksi di Sukan SEA 2025 dengan rejaman sejauh 52.17m.

Sementara itu, atlet lompat tinggi negara, Nawawi Mohamad terpaksa akur di tempat keempat selepas melakukan lompatan 1.95m dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Kallang.

Bagi acara 800m wanita pula menyaksikan Geetha Sivaraja dan Clezendra Chanda Cevester Empari masing-masing berpuas hati di kedudukan keenam dan ke-12.

Dalam pada itu, pelari 110m berpagar negara, Muhammad Armin Zahryl Abd Latif akur di kedudukan keenam selepas menamatkan larian 14.13s.

Itu bukan pencapaian sebenar Armin yang sebelum ini memenangi gangsa di Sukan SEA 2025 dengan merekodkan 13.85s sekali gus menjadi catatan peribadi terbaiknya. – UTUSAN

 

Scroll to Top