Disahkan! Diesel dihantar ke Filipina bukan dari perut bumi Malaysia – Fahmi

Disahkan! Diesel dihantar ke Filipina bukan dari perut bumi Malaysia – Fahmi

Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel yang dilaporkan dihantar ke Filipina sebelum ini bukanlah hasil minyak yang diperoleh daripada telaga di Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penjelasan itu penting bagi menghentikan kekeliruan yang tular dalam kalangan rakyat susulan isu berkenaan.

Beliau menegaskan, minyak berkenaan tidak berasal daripada mana-mana sumber pengeluaran domestik negara.

“Cuma saya nak sebut sebab ditanya mengenai diesel tadi, minyak yang sampai ke Filipina itu bukan minyak dari perut bumi Malaysia. Disahkan,” katanya.

Isu penghantaran diesel itu sebelum ini menjadi perbincangan hangat di media sosial ketika negara didakwa berdepan kesan krisis tenaga berikutan ketidaktentuan pasaran global.

Sebelum ini, laporan media Filipina menyebut sebanyak 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu bagi menambah bekalan bahan api mereka, selain penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac lalu.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sebelum ini menafikan dakwaan bahawa Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular, sebaliknya menjelaskan ia berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor.

Artikel lain: Dakwa minyak negara tak lalu Selat Hormuz? Fahmi gesa Azman mohon maaf!

Menurutnya, bekalan diesel berkenaan juga bukan diproses oleh PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya dimiliki serta dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.

Beliau turut menjelaskan, penjelasan oleh PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan minyak tersebut bukan milik Malaysia, sekali gus menafikan spekulasi yang tersebar di media sosial.

Scroll to Top