PENGENDALI Liverpool, Arne Slot tetap optimis dengan masa depan pasukannya meskipun terpaksa menelan kepahitan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tunduk kepada Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.
Dua jaringan Ousmane Dembele pada separuh masa kedua memastikan kemenangan buat gergasi Perancis itu, sekali gus menyaksikan The Reds tersingkir dengan keputusan agregat 4-0 di peringkat suku akhir.
Kekalahan itu bermakna tumpuan Liverpool kini beralih sepenuhnya kepada saingan Liga Perdana Inggeris dalam usaha menjamin kedudukan lima teratas, bermula dengan aksi tetangga Merseyside menentang Everton, Ahad ini.
Walaupun kecewa, Slot menegaskan terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil untuk jangka masa panjang di Anfield dan memuji anak buahnya kerana berjaya mengimbangi kekuatan penyandang juara itu dalam tempoh yang lama.
“Sudah tentu kami sangat kecewa kerana saya rasa ada ketika pada separuh masa kedua, kami dapat merasakan: ‘Jika kami dapat menjaringkan gol sekarang, ini akan menjadi malam yang sangat istimewa’.
“Namun, masa depan kelihatan sangat cerah untuk pasukan ini dan kelab ini. Kami telah menunjukkan bahawa kami mampu bersaing dengan juara Eropah di stadium kami sendiri.
“Untuk menjadi pasukan yang dominan bukan mudah, tidak banyak pasukan mampu mendominasi PSG dan mencipta peluang sebanyak yang kami lakukan. Mencipta peluang adalah satu perkara, tetapi menyempurnakannya adalah perkara berbeza,” katanya.
Perlawanan tersebut turut diwarnai kontroversi apabila pengadil, Maurizio Mariani membatalkan keputusan penalti yang pada mulanya diberikan kepada Liverpool selepas Alexis Mac Allister dijatuhkan oleh Willian Pacho ketika kedudukan terikat 0-0.
Bagaimanapun, Slot enggan terlalu mengkritik keputusan tersebut dan menganggap faktor nasib tidak menyebelahi pasukannya kali ini.
“Saya rasa mungkin minggu lalu kami terlalu banyak bernasib baik dan hari ini nasib kami sudah habis.
“Minggu lalu ada dua insiden yang mungkin kami agak bertuah (tidak dikenakan penalti). Jadi hari ini, pada pendapat saya, jika penalti telah diberikan, biasanya VAR akan memberitahu ada sentuhan dan menyokong keputusan di atas padang.
“Tetapi saya tidak terkejut keputusan itu tidak memihak kepada kami. Ini bukan cerita utama perlawanan, kerana ia telah berlaku kepada kami beberapa kali musim ini,” ujarnya.



