lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Motosikal model kapcai sahaja, tapi dijual pada harga RM750,000 sebuah.
Itu harga ditawarkan Muhammad Saffwan Muhammad Lotpy, 37, dari Batu Caves bagi motosikal jenama Aveta DY 115 dengan nombor pendaftaran ‘PM 2’ yang diiklankan di media sosial miliknya sejak semalam.
Harga pasaran asal model ‘retro’ itu adalah RM3,988 (Standard) dan RM4,088 (Special Edition) dengan enjin 113.3 cc, empat lejang serta tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter.
Menurutnya, harga tinggi itu bukan terletak pada motosikal berkenaan, sebaliknya nombor pendaftaran ‘PM 2’ yang dianggap nombor klasik dan ‘rare’ bernilai tinggi dalam pasaran.
“Memang harga pasaran nombor itu sekitar RM700,000 ke atas kerana ia nombor dua, antara nombor paling dicari.
“Kalau nombor ‘PM 1’, harganya boleh mencecah lebih RM1 juta.
“Nombor ini asalnya milik sebuah kereta sebelum dipindahkan ke motosikal melalui prosedur ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada awal bulan ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau yang bekerja sebagai ‘runner’ bagi urusan JPJ dan Puspakom berkata, motosikal berkenaan adalah milik sepupunya, manakala dia hanya membantu mengiklankan dan mencari pembeli.
Katanya, walaupun harga dilihat luar biasa, ia berdasarkan nilai pasaran sebenar bagi nombor pendaftaran eksklusif.
“Orang mungkin pelik, tapi bagi pembeli sebenar mereka tahu nilai nombor seperti ini. Lagi kecil nombor, lagi tinggi harga.
“Setakat ini, belum ada pembeli kerana biasanya nombor rare memang ambil masa.
“Ada yang jual cepat, ada juga sampai dua atau tiga tahun,” katanya.
Bapa dua anak itu berkata, dia mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam urusan jual beli nombor pendaftaran dan sudah membantu menjual lebih 1,000 nombor termasuk kategori murah hingga mencecah ratusan ribu ringgit.
Menurutnya, cabaran utama dalam pasaran nombor ‘rare’ adalah mendapatkan nombor sah dan mengelakkan penipuan.
“Kita kena pastikan nombor itu ‘bersih’ dan tiada masalah kerana sekarang ada kes nombor tidak sah.
“Proses pemindahan nombor daripada kenderaan ke motosikal juga tidak rumit dan boleh diselesaikan dalam tempoh sehari melalui prosedur biasa di JPJ dan Puspakom,” katanya.
Ditanya tentang cemuhan segelintir pengguna media sosial terhadap harga motosikal terbabit, Muhammad Saffwan berkata, dia tidak mahu ambil endah komen negatif kerana menyifatkan mereka tidak memahami pasaran nombor pendaftaran kenderaan.
“Mereka yang memperlekehkan itu tidak jadi masalah kerana bukan pembeli.
“Hanya pembeli yang serius tahu betapa bernilai memiliki kenderaan dengan nombor plat rare.
“Bila dapat nombor yang jarang orang ada, memang ada kepuasan tersendiri. Itu yang buat peminat nombor sanggup berbelanja besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




