opie@mediaprima.com.my
DUNIA seni suara kehilangan permata berharga selepas pemergian penyanyi legenda India, Asha Bhosle pada Ahad lalu yang cukup dikenali menerusi kepelbagaian genre lagu dalam filem Bollywood.
Asha yang juga adik kepada penyanyi tersohor India, mendiang Lata Mangeshkar dilaporkan dibawa ke sebuah hospital swasta di Mumbai, India pada petang Sabtu akibat jangkitan kuman pada dada dan keletihan.
Pemergian Asha pada usia 92 tahun membawa berita duka buat peminat terutama pencinta filem Bollywood di seluruh dunia kerana beliau meninggalkan legasi gemilang dalam dunia nyanyian latar India.
Kehilangannya juga mengundang hiba serta penghormatan luar biasa termasuk tokoh ternama di seluruh dunia.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam satu hantaran di laman X menyifatkan pemergian Asha sebagai satu kehilangan besar kepada warisan budaya dunia.
“Perjalanan muzik beliau yang luar biasa selama berdekad-dekad memperkayakan warisan budaya kami dan menyentuh hati jutaan insan di seluruh dunia.
“Sama ada melodi yang menyentuh jiwa atau komposisi yang rancak, suara beliau membawa kecemerlangan yang tidak ditelan zaman,” katanya.
Sepanjang lapan dekad berkarya, Asha bukan sahaja menjadi ikon di India, malah meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk kolaborasi popular bersama pemuzik British, Boy George.
Antara pencapaian tertinggi beliau termasuk dua pencalonan Anugerah Grammy, Anugerah Dadasaheb Phalke (Anugerah Seni Tertinggi India) dan Padma Vibhushan (Anugerah awam kedua tertinggi di India).
Sementara itu, bintang terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan menyifatkan suara Asha sebagai salah satu tiang utama filem India.
“Suara beliau akan terus bergema di seluruh dunia untuk berabad-abad lamanya. Bakat beliau akan kekal melangkaui zaman,” tulisnya di media sosial.
Manakala, aktres veteran Hema Malini menyifatkan Asha sebagai individu yang memberi ‘watak’ dan keceriaan dalam setiap lagu yang dinyanyikannya.
Menyentuh kerjaya gemilang Asha, laporan media tempatan menyatakan penyanyi veteran ini merakamkan lebih 12,500 lagu dalam pelbagai bahasa.
Antara dendangan beliau yang kekal malar segar hingga kini termasuk lagu Yeh Mera Dil, Tanha Tanha dan Dum Maro Dum.
Manakala lagu lain yang popular ialah Le Gayi, Aise Jalta Hai Jiya, Mujhse Dosti Karoge dan Chura Liya Hai Tumne Jo Dil Ko.
Sepanjang kerjaya, beliau sering dibandingkan dengan kakaknya, sekali gus mencetuskan spekulasi persaingan, namun ramai percaya persepsi itu dibesar-besarkan.
Asha sendiri pernah menyatakan bahawa kelebihan awal kakaknya hanya meningkatkan tekadnya untuk berjaya.
Puncak kerjaya Asha bermula menerusi filem Naya Daur (1957) arahan B R Chopra. Dalam naskhah itu, beliau menyanyikan beberapa lagu ciptaan pengarah itu sendiri.
Bakatnya terus menjadi pilihan untuk menghiasi filem hebat keluaran Chopra yang lain seperti Gumrah (1963), Waqt (1965), Hamraaz (1967) dan Dhund (1973).
Bukan sekadar menyanyi, Asha turut mencuba nasib dalam bidang lakonan. Beliau membuat kemunculan sulung di layar perak menerusi filem Badi Maa (1945) dan membintangi beberapa filem lain sepanjang tahun-tahun berikutnya.
Beliau turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Filmfare Awards.
Lebih membanggakan pada 2011, nama beliau tercatat dalam Guinness World Record sebagai artis yang paling banyak merakamkan lagu dalam sejarah muzik. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




