nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) memohon maaf atas kekhilafan serta sebarang kegusaran timbul susulan pementasan teater oleh pasukan teater kolej yang didakwa memaparkan unsur tidak senonoh hingga tular di media sosial sejak semalam.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedia maklum mengenai adegan dalam persembahan teater yang tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
“Pihak universiti memandang serius perkara berkenaan serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan.
“Berdasarkan syarat-syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (KARVITER) UM, setiap persembahan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.
“Hasil penelitian mendapati adegan dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan ditetapkan,” katanya.
Justeru itu, universiti berkenaan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan ditetapkan.
“Persembahan berkenaan sudah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai dan tindakan lanjut sedang dilaksanakan.
“Ia bagi memperkukuhkan pemantauan serta memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam sekeras-kerasnya pementasan teater oleh pasukan teater kolej yang didakwa memaparkan unsur tidak senonoh.
Sebelum ini, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim dalam persembahan itu hingga tular di media sosial sejak semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




