Siti Hariesa Kejar Cinta Noki Dalam Dear Farris, Tapi Ditolak?

Siti Hariesa Kejar Cinta Noki Dalam Dear Farris, Tapi Ditolak?

Jika cinta hadir tanpa dirancang, itu mungkin biasa. Namun apabila ia ditentukan oleh orang lain, mampukah perasaan itu benar-benar hidup dalam hati yang pernah terluka? Itulah persoalan yang dibawa dalam drama Dear Farris yang bakal ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 18 April 2026.

Diarahkan oleh Azhar Khalid, drama adaptasi novel karya Bella Irdina Temptation ini menampilkan barisan pelakon seperti Siti Hariesa, Noki K-Clique, Nabil Aqil, Ruhainies dan Noniswara. Kisah ini mengangkat tema cinta dan kekeluargaan dengan emosi yang mendalam serta konflik yang menyentuh hati.

Watak Syed Farris yang dibawakan Noki pernah melalui pengalaman pahit dalam percintaan sehingga membuatkan dia menutup pintu hati sepenuhnya. Berbeza dengan Bella Irdina lakonan Siti Hariesa yang masih percaya pada kekuatan cinta sejati untuk mengubah kehidupan.

Pertemuan mereka yang singkat menimbulkan perasaan yang sukar dijelaskan, sebelum takdir menemukan mereka kembali sebagai pasangan suami isteri menerusi perkahwinan yang diatur keluarga. Namun, Farris tetap menolak untuk membuka hati dan berpegang pada prinsip bahawa cinta bukan lagi untuk dirinya.

Tidak berputus asa, Bella terus berusaha dengan penuh kelembutan untuk menambat hati suaminya yang dingin dan penuh luka, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran yang menguji emosi dan harga dirinya.

Kisah dua jiwa dengan pandangan berbeza tentang cinta ini mengundang persoalan, mampukah mereka menemukan titik persefahaman sebelum semuanya terlambat?

Menurut Siti Hariesa, “Bella ialah watak yang sangat lembut dan penuh emosi, tetapi dalam masa sama dia mempunyai kekuatan untuk menghadapi setiap ujian dalam perkahwinannya. Sebagai pelakon, saya perlu seimbangkan sisi rapuh dan kuat itu supaya penonton dapat merasai setiap perjalanan yang dilaluinya.”

Saksikan Dear Farris setiap Sabtu dan Ahad bermula 18 April 2026, hanya di Tonton. Untuk perkembangan terkini, ikuti akaun rasmi Tonton di semua platform media sosial @tontonmy.

Scroll to Top