JOHOR BAHRU: Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dibuka secara rasmi semalam, menjadi medan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) apabila kedua-dua parti bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini berdepan pelbagai konflik dalaman bertanding di 33 kerusi DUN, sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama) bertanding di 15 kerusi.
Selain itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding empat kerusi, enam calon Bebas dan masing-masing seorang calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (Asli).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding, dengan tiada borang pencalonan ditolak selepas tamat tempoh penamaan pada pukul 10 pagi semalam.
Beliau berkata, tiga DUN menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu Bukit Batu, Puteri Wangsa dan Bukit Naning.
Sebanyak 12 DUN pula melibatkan pertandingan empat penjuru; 27 DUN pertandingan tiga penjuru manakala 14 DUN pertandingan dua penjuru atau satu lawan satu.
“Seramai 138 calon adalah lelaki, manakala selebihnya iaitu 34 calon wanita. Usia calon tertua adalah 73 tahun melibatkan calon PN yang bertanding di DUN Stulang, manakala calon termuda berusia 23 tahun, iaitu calon PH bagi kerusi DUN Johor Lama.
“SPR turut menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen, dengan tempoh kempen telah bermula secara rasmi sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai depan,” katanya dalam sidang akhbar di Banggunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, semalam.
BN yang tetap dengan pendirian untuk bertanding solo di kesemua kerusi, meletakkan Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang akan ditentang calon PH, sebagai ‘ketua perang’ untuk mengekalkan mandat pada PRN lalu.
Daripada gabungan itu, UMNO menampilkan seramai 36 calon, sementara 16 pula daripada MCA manakala empat lagi kerusi diisi calon MIC.
Majoriti daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor kekal bertanding dan mempertahankan kerusi DUN masing-masing, kecuali Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail yang digugurkan.
Calon-calon PH pula terdiri daripada 20 calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), 19 calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan 17 daripada DAP.
Lebih 2.7 juta pemilih akan memilih wakil rakyat mereka pada hari mengundi 11 Julai ini, dengan pengundian awal pula 7 Julai. Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula semalam hingga tengah malam 10 Julai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, proses penamaan calon berjalan lancar dengan tiada laporan berkaitan kejadian provokasi dan insiden lain.
Kata beliau, setakat ini pihaknya telah meluluskan 26 permit kempen kepada parti-parti bertanding dengan jumlah dijangka bertambah berdasarkan permohonan dan penilaian oleh Ketua Polis Daerah. – MINGGUAN




