am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ibarat bulan jatuh ke riba, seorang kakitangan awam tidak menyangka angan-angannya bergelar ‘jutawan’ menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-122.
Muhammad Riyadhul Hanif Abdullah, 34, yang juga bekerja sebagai pegawai tadbir negeri di SUK Kelantan berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pegawai BSN pada awal bulan ini yang memaklumkan bahawa dia terpilih sebagai pemenang cabutan BSN SSP bernilai RM1 juta.
Katanya, ketika dihubungi oleh pihak BSN, dia berada di bengkel untuk membaiki keretanya yang mengalami kerosakan dan dalam masa sama berdoa agar dimurahkan rezeki kerana perlu mengeluarkan kos ribuan ringgit untuk membaiki kerosakan berkenaan.
“Tanpa diduga saya menerima panggilan daripada pihak BSN yang memaklumkan saya adalah pemenang cabutan SSP bulan Mac menyebabkan saya terkejut dengan berita yang disampaikan seolah-olah sedang bermimpi.
“Sejurus menerima berita itu, saya terus menghubungi isteri, Zarifah Zulkepli, 33, namun dia juga tidak percaya dan menyangka ia satu gurauan sehinggalah saya berkongsi pautan rasmi BSN untuk meyakinkannya,” katanya ketika ditemui selepas menerima replika cek hadiah berkenaan di sini, hari ini.
Ia disampaikan Ketua Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil, turut hadir Pemangku Pengarah Negeri BSN Terengganu Mohamad Kabir Ali.
Bapa kepada empat orang anak berusia antara dua hingga 12 tahun itu berkata, amalan menabung sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil hasil didikan ibu bapanya yang tidak gemar hidup bermewah.
“Saya mula menyimpan dalam BSN SSP sejak 12 tahun lalu dengan pembukaan akaun pertama berjumlah RM50 di BSN Selayang ketika masih belajar kerana terinspirasi selepas menonton cabutan SSP secara langsung di televisyen.
“Setelah bekerja, setiap kali dapat gaji, saya akan dahulukan untuk simpanan dan ia dilakukan secara konsisten, walaupun dalam jumlah yang kecil dan tidak pernah mengeluarkannya meskipun terdesak,” katanya.
Katanya, menyimpan dalam BSN SSP menjadikannya lebih berdisiplin kerana jika di simpan dalam akaun biasa, duit mudah dikeluarkan.
“Justeru, simpanan BSN SSP ini pilihan tepat untuk simpanan jangka masa panjang kerana selain menabung peserta juga mempunyai peluang untuk memenangi hadiah yang sangat lumayan,” katanya.
Bercerita mengenai perancangan masa depan, Muhammad Riyadhul Hanif berkata, keutamaan adalah untuk menyelesaikan komitmen utama termasuk pinjaman rumah dan kenderaan, selain menyediakan simpanan untuk pendidikan anak-anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




