Jakarta: Pasukan penyelamat pada Khamis mengesahkan lapan individu yang berada dalam sebuah helikopter yang dilaporkan hilang, maut selepas serpihan pesawat itu ditemukan di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia awal hari berkenaan, lapor Xinhua.
Pegawai penyelamat Leftenan Kolonel Nurrachman Gindha Dradhizya berkata sebahagian mangsa telah ditemukan di lokasi nahas.
“Empat mayat berjaya dipindahkan dan dimasukkan ke dalam beg mayat, manakala tiga lagi masih berada dalam bangkai helikopter,” katanya pada Khamis malam.
Menurut manifes penerbangan, helikopter itu membawa lapan orang.
Mayat mangsa terakhir masih dalam usaha dikesan setakat ini.
Bagaimanapun, operasi pemindahan tidak dapat diteruskan berikutan keadaan gelap.
Pasukan itu memutuskan untuk menghentikan operasi sementara dan akan menyambung semula pada pagi Jumaat.
“Kami akan menyambung semula esok pagi, termasuk usaha memotong bangkai helikopter untuk mengeluarkan mayat yang masih berada di dalamnya,” tambah Dradhizya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




