mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas juru X-ray di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendakwa, berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan kakitangan dan pesakit.
Nur Fauzia Abdul Razak, 35, yang kini disahkan menghidap Kanser Hodgkin’s Lymphoma tahap empat berkata, dia terpaksa dibersarakan awal kerana tidak lagi mampu bekerja dan masih menjalani rawatan kemoterapi.
Katanya, setakat ini dia menjalani lebih 20 kitaran kemoterapi selain mendakwa penyakit dihidapinya berpunca daripada kesan pendedahan radiasi jangka panjang atau dikenali sebagai stochastic effect.
“Bahagian Kawalan Radiasi dan Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan saya menghidap kanser pada Mac 2023 dan ia dikaitkan dengan stochastic effect,” katanya pada sidang media bersama peguamnya di sini, hari ini.
Turut hadir, wakil Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) dan Gerakan Mahasiswa).
Nur Fauzia berkata, peningkatan kes penyakit dalam kalangan kakitangan mula dikesan selepas pemasangan mesin Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Menara Selatan PPUM beberapa tahun lalu.
“Selepas pemasangan mesin PET-CT di Menara Selatan PPUM, statistik staf yang jatuh sakit dengan penyakit berkaitan pendedahan radiasi menunjukkan peningkatan mendadak.
“Sehingga kini tiga staf disahkan menghidap kanser paru-paru, kanser darah dan kanser payu dara manakala empat lagi mengalami masalah tiroid.
“Lebih membimbangkan, seorang pesakit kanser payu dara dalam kalangan staf terpaksa menjalani pembedahan Caesarean Section (C-Section) untuk melahirkan bayi pramatang sebelum menjalani mastektomi bagi rawatan kanser,” katanya.
Menurutnya, semua staf terbabit bekerja di Jabatan Radiologi di tingkat lima menara berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan radiasi.
Susulan itu, Fauzia berkata, dia membawa isu berkenaan kepada BKRP dengan pihak berkenaan bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Bagaimanapun, dia mendakwa wujud percanggahan antara dapatan perbincangan bersama pegawai BKRP dengan laporan rasmi yang dikeluarkan.
“Dalam mesyuarat, pegawai BKRP sendiri menyatakan terdapat pelanggaran SOP, tetapi dalam laporan rasmi dinyatakan semua selamat dan tiada pelanggaran dikesan. Jadi di sini, macam kontra,” katanya.
Nur Fauzia turut mendakwa, berlaku manipulasi data serta laporan teknikal bagi menutup isu berkenaan daripada pengetahuan umum.
Dalam masa sama, Fauzia menegaskan, dia akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak PPUM berhubung isu berkenaan.
“Saya akan mengambil tindakan perundangan kepada PPUM dan peguam saya akan jelaskan apakah tuntutan yang akan dibuat nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




