Aishah raikan 40 tahun legasi seni menerusi konsert solo

Aishah raikan 40 tahun legasi seni menerusi konsert solo

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Aishah bakal mengadakan konsert solo berskala besar pertamanya berjudul Aishah 40 Chapters of Love di Megastar Arena, di sini, pada 4 Julai depan.

Konsert anjuran Vox Nation Live ini bertujuan meraikan legasi 40 tahun perjalanan seninya dalam industri muzik tanah air.

Aishah menyifatkan konsert ini sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokongnya selama empat dekad.

“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat setia yang bersama saya selama ini. Saya tidak sabar untuk kembali ke pentas dan berkongsi detik istimewa bersama anda semua.

“Saya harap setiap lagu yang dipersembahkan nanti akan mengimbau kenangan dan menyentuh hati,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang berkata, konsert berkenaan adalah satu penghormatan kepada ikon negara dan menjanjikan pengalaman yang bakal menyentuh emosi penonton melalui produksi bertaraf tinggi.

“Datuk Aishah adalah nama yang membentuk sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman yang akan menyentuh emosi penonton dari awal hingga akhir.

“Kami mahu peminat merasai setiap detik, setiap lagu dan setiap kenangan yang dibawa ke pentas,” katanya.

Peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu ikonik yang menjadi identiti Aishah seperti Janji Manismu, Camar Yang Pulang dan Kemaafan Dendam Yang Terindah.

Tiket mula dijual jam 3 petang ini menerusi laman sesawang ticket2u. Terdapat lapan kategori tiket yang ditawarkan bermula dari RM168 (Taman Keabadian) hingga RM788 (VVIP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top