am@hmetro.com.my
Besut : Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Ini yang dihadapi seorang ibu apabila bayi perempuannya yang berusia 11 bulan mengidap penyakit kebocoran tulang belakang sejak dalam kandungan.
Siti Aisyah Kamarulzaman, 36, berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu, Nor Naila Insyirah Muhammad Harith Syahiran mula dikesan mengidap penyakit itu ketika usia kandungan 24 minggu.
Katanya, pada awalnya dia menyangka anaknya akan dilahirkan seperti bayi normal lain sebelum melihat ada benjolan di bahagian belakang badan.
“Terdapat cecair air tulang belakang dan cecair dari otak mengalir ke kawasan bocor dalam benjolan hingga mengganggu sistem saraf.
“Dari segi luaran dia nampak aktif, tetapi kesan daripada penyakit itu dia mengalami gangguan sistem pembuangan air kecil serta air besar,” katanya ketika ditemui di Perumahan Taman Seri Intan, Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut, di sini, semalam.
Siti Aisyah yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berkata, anaknya memerlukan penjagaan rapi setiap hari dan tiada pengasuh yang sanggup mengambil risiko untuk menjaganya.
“Naila perlu menggunakan peralatan khas untuk membuang air kecil setiap enam jam dan
turut menghidap gangguan saraf di bahagian kaki. Dia juga tidak boleh berdiri hanya meniarap setiap masa,” katanya.
Siti Aisyah berkata, dia dan suami, Muhammad Harith Syahiran Remi, 27, bergilir-gilir menjaganya. “Sebelah pagi saya jaga, manakala petang giliran suami ketika saya keluar bekerja,” katanya.
Katanya, anaknya itu akan menjalani satu pembedahan untuk membaik pulih saraf serta ‘menutup’ kebocoran di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 25 Mei ini.
“Kos pembedahan kira-kira RM4,500 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai serta pengeluaran simpanan saya berjumlah RM2,000 di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Selepas pembedahan nanti dia akan terus menjalani rawatan susulan di HSNZ dan Hospital Besut secara berkala,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




