Myanmar beri pengampunan lebih 4,500 banduan

Myanmar beri pengampunan lebih 4,500 banduan
Myanmar beri pengampunan lebih 4,500 banduan

Lebih 4,500 banduan diberi pengampunan oleh Presiden Myanmar, U Min Aung Hlaing sempena hari pertama Tahun Baharu kalendar Myanmar.

YANGON – Presiden Myanmar, U Min Aung Hlaing pada Jumaat memberi pengampunan kepada lebih 4,500 banduan pada hari pertama Tahun Baharu kalendar Myanmar, lapor Xinhua memetik Myanmar Radio and Television milik kerajaan.

Presiden itu memberi pengampunan kepada 4,335 banduan warga Myanmar dan 179 banduan warga asing menerusi perintah berasingan sempena Tahun Baharu, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, pengampunan berkenaan diberikan sempena Tahun Baharu tradisional Myanmar bertujuan membawa keamanan dan nilai kemanusiaan kepada masyarakat serta membolehkan individu yang diampunkan mengambil bahagian dalam pembangunan negara.

Menurut perintah itu, sekiranya mana-mana individu yang diampunkan mengulangi kesalahan, mereka dikehendaki menjalani kedua-dua hukuman baharu dan baki hukuman terdahulu.

Sementara itu, banduan warga asing yang diampunkan akan diusir keluar dari negara itu.

Dalam perintah berasingan, presiden turut mengurangkan hukuman sebilangan banduan di seluruh negara, termasuk menukar hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Selain itu, menetapkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman melebihi 40 tahun kepada tempoh penjara 40 tahun serta mengurangkan hukuman 40 tahun ke bawah sebanyak satu perenam.

Tahun lepas, lebih 4,900 banduan diberi pengampunan sempena Tahun Baharu tradisional Myanmar.- Bernama-Xinhua

Scroll to Top