Kerajaan teliti cadangan kembalikan status bebas cukai Pulau Langkawi – PM

Kerajaan teliti cadangan kembalikan status bebas cukai Pulau Langkawi – PM

Cyberjaya: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk mengembalikan status bebas cukai kepada Langkawi sebagai langkah merancakkan semula ekonomi pulau itu yang kini berdepan cabaran peningkatan kos dan penurunan tarikan pelancong domestik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut wajar diberi perhatian memandangkan kedudukan sektor pelancongan di Langkawi dilihat sedikit malap kebelakangan ini.

“Saya sudah minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) melihat keseluruhannya bagaimana boleh menjana semula kerana kos di Langkawi itu agak tinggi, itu dengan sendirinya tidak dapat menarik pelancong sekali pun domestik,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas cadangan tersebut.

“Maknanya kita sedia teliti dan menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kedah dan kita akan teliti,” katanya.

Pada 13 April lalu, Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah bertitah mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengembalikan keistimewaan asal Langkawi sebagai pulau bebas cukai bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, isu syarat yang didakwa ketat terhadap syarikat kenderaan elektrik (EV) akan dibawa untuk dibincangkan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Semalam, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee dilapor berkata Kerajaan Persekutuan perlu menilai semula syarat-syarat dikenakan kepada syarikat EV yang merancang untuk menubuhkan kilang di negara ini.

Loh berkata, terdapat kebimbangan terhadap beberapa dasar yang bersifat terlalu ketat dan berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur asing, sekali gus merosakkan imej pelaburan negara.

Beliau turut memaklumkan projek pembinaan kilang pemasangan EV oleh BYD di Tanjung Malim telah dihentikan dengan tapak sedia ada berada dalam keadaan tidak aktif, dipercayai berpunca daripada ketidakmampuan syarikat itu untuk memenuhi syarat baharu yang diperkenalkan MITI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top