
Tindakan Edward yang menjadi ‘penyelamat’ meraih pujian meluas pengguna media sosial. – Foto Agensi
WARSAW – Robot mungkin belum benar-benar bersedia mengambil alih rutin harian manusia, namun kini ia sudah mampu berperanan sebagai ‘pengawal komuniti’.
Aksi robot Unitree G1 yang berlari pantas mengejar sekumpulan babi liar menjadi tular, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di ibu kota Poland.
Robot digelar Edward Warchocki muncul sebagai ‘adiwira’ untuk mengusir haiwan sesat tersebut walaupun ia tidak direka untuk berlari dengan laju.
Warsaw dikatakan bergelut dengan masalah gangguan babi liar sejak sekian lama.
Tindakan Edward yang menjadi ‘penyelamat’ meraih pujian meluas pengguna media sosial.
“Ciptaannya satu idea yang bernas. Saya sanggup sewa robot untuk halau babi hutan,” kata seorang warganet.
Seorang lagi pengguna media sosial pula mencadangkan robot ditempatkan di sekolah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman penceroboh.
“Walaupun babi itu melawan balik, ia tidak akan mati,” ujarnya.
Pada tahun lalu, Unitree Robotics memperkenalkan robot R1 yang boleh bertumbuk dan berpusing seperti roda dengan harga AS$6,000 (RM24,000).
Robot seberat kira-kira 25 kilogram itu dilengkapi 26 sendi bagi membolehkan pergerakan yang lebih fleksibel. Ia juga diperkasa dengan kecerdasan buatan (AI) multimodal termasuk keupayaan pengecaman suara dan imej. – Agensi



