ISTANBUL – Harga minyak susut lebih 11 peratus pada Jumaat susulan jangkaan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan perang, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan berpanjangan di Asia Barat.
Minyak mentah Brent susut AS$11.4, atau 11.4 peratus, kepada AS$88 setong setakat 1315 GMT, paras terendah dalam tempoh kira-kira dua minggu, manakala penanda aras AS West Texas Intermediate merosot AS$11.3, atau 12.2 peratus, kepada AS$84.8.
Penjualan besar-besaran itu semakin rancak susulan laporan mengenai kemajuan dalam diplomasi saluran belakang, lapor Anadolu Ajansi.
Perunding AS dan Iran sedang membincangkan rangka kerja tiga halaman yang berpotensi membantu menamatkan konflik, dengan satu cadangan melibatkan pelepasan dana Iran bernilai AS$20 bilion yang dibekukan sebagai pertukaran bagi Iran melepaskan simpanan uranium diperkayanya, menurut Axios yang memetik sumber yang dimaklumkan mengenai rundingan itu.
Menambah tekanan terhadap harga, diplomat kanan Iran Abbas Araghchi berkata, laluan bagi semua kapal komersial melalui Selat Hormuz adalah “terbuka sepenuhnya” sepanjang baki tempoh gencatan senjata selaras dengan gencatan senjata di Lubnan, sekali gus memberi isyarat kemungkinan pengurangan risiko perkapalan di satu daripada laluan minyak paling penting di dunia.
Presiden AS, Donald Trump turut berkata pada Jumaat bahawa Iran telah mengumumkan pembukaan Selat Hormuz untuk laluan penuh.
“Iran baru sahaja mengumumkan bahawa Selat Iran dibuka sepenuhnya dan bersedia untuk laluan penuh. Terima kasih,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Rangka kerja yang dilaporkan Axios itu turut merangkumi perbincangan mengenai nasib simpanan uranium diperkaya Iran, jumlah aset beku yang boleh dilepaskan, serta syarat penggunaan dana berkenaan oleh Tehran, menurut Anadolu.
Satu cadangan kompromi yang sedang dipertimbangkan dilaporkan melibatkan penghantaran sebahagian uranium diperkaya tinggi ke negara ketiga manakala sebahagiannya lagi dicairkan tahap pengayaannya di dalam Iran di bawah pemantauan antarabangsa.
Trump berkata pada Khamis bahawa Washington “sangat hampir” mencapai perjanjian dengan Iran dan memberi bayangan bahawa perunding boleh bertemu semula pada hujung minggu, sekali gus menguatkan harapan bahawa konflik itu mungkin menghampiri penyelesaian diplomatik.
Namun, pasaran kekal sangat sensitif terhadap perkembangan berkaitan Selat Hormuz, dan pedagang dijangka terus berhati-hati sehingga perjanjian rasmi dimeterai serta trafik kapal melalui selat itu kembali bergerak normal secara berterusan. – Bernama



