KANGAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April ditangguh ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak.
Surat pemakluman yang dikeluarkan hari ini bagaimanapun tidak dimaklumkan sebab atau alasan penangguhan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi merangkap Exco kerajaan negeri, Izizam Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut petang tadi, namun tidak mengetahui atas alasan apa.
ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling pula berkata, sepanjang pengetahuan beliau, penangguhan sidang DUN Perlis tidak pernah berlaku kecuali ketika Covid-19.
Beliau berharap agar penangguhan tersebut tidak mengambil masa terlalu lama memandangkan banyak isu yang hendak diketengahkan di dalam sidang berkenaan.
“Saya dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut hari ini dan tidak tahu sebab atau alasan apa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beberapa lagi ADUN Bersatu ketika dihubungi juga memaklumkan tidak tahu sebab penangguhan itu.
Sidang DUN tersebut sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember lalu yang menyaksikan ADUN, Sanglang, Mohd. Shukri Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Krisis tercetus selepas lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu tiga dari Pas dan lima dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mengemukakan akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, kemudian dilantik sebagai Menteri Besar.
Kerajaan negeri dibawah kepemimpinan Abu Bakar bagaimanapun tidak mempunyai wakil dari Pas apabila mereka menolak daripada memegang jawatan Exco kerajaan negeri.-UTUSAN




