APMM pindahkan anak kapal Vietnam cedera di laut

APMM pindahkan anak kapal Vietnam cedera di laut

mdroji@bh.com.my

Kuching: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksana operasi pemindahan perubatan (Medevac) kru kapal kargo warga Vietnam yang cedera di perairan Pulau Lakei, hari ini.

Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya bertindak pantas sebaik menerima panggilan kecemasan dan terus mengatur gerak aset ke lokasi kejadian bagi memastikan mangsa menerima bantuan segera.

“Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching menerima maklumat kecemasan daripada ejen kapal sebelum aset digerakkan serta-merta ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat dan memberikan bantuan perubatan segera kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa, Chu Van Thuy, 43, dilaporkan terjatuh di atas kapal kargo tersebut pada 6.15 petang dan cedera di kepala ketika kapal berada kira-kira enam batu nautika timur laut Pulau Lakei.

Katanya, pasukan berjaya mendaratkan mangsa di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas pada 9.45 malam tadi dan mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan Borneo Medical Center untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Keseluruhan Operasi Medevac disahkan selesai sepenuhnya pada 9.55 malam,” katanya yang menegaskan komitmen berterusan APMM dalam menghadapi sebarang kecemasan di laut, khususnya membabitkan keselamatan nyawa.

Orang awam dan komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut serta segera melaporkan sebarang kecemasan melalui talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top