London: Juara Wimbledon 2023, Marketa Vondrousova akhirnya membuka kisah sebenar di sebalik kehilangannya daripada gelanggang sejak awal tahun ini, apabila mendedahkan dia mengalami tekanan mental serius susulan satu insiden ujian doping.
Pemain berusia 26 tahun itu menjelaskan dia mengalami Acute Stress Reaction dan Generalised Anxiety Disorder selepas satu kejadian pada Disember lalu yang disifatkan sebagai ‘pencerobohan privasi” apabila seorang pegawai kawalan doping hadir ke rumahnya pada waktu malam untuk ujian segera.
Menurutnya, ketika itu dia sudah berada di tahap paling rapuh selepas berbulan-bulan bergelut dengan kecederaan, tekanan berterusan serta masalah tidur yang menjejaskan keadaan fizikal dan mentalnya.
“Untuk tempoh yang lama, saya berdepan kecederaan, tekanan berterusan dan masalah tidur yang membuatkan saya keletihan serta mudah terkesan.
“Ia perlahan-lahan memakan diri saya lebih daripada yang saya sedari ketika itu,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Marketa turut mengakui tekanan luar gelanggang termasuk mesej kebencian dan ancaman yang diterima selama ini membuatkan dia berasa tidak selamat di ruang peribadi sendiri.
“Apabila seseorang datang mengetuk pintu rumah pada waktu malam tanpa pengenalan jelas atau mengikut prosedur, saya bertindak sebagai individu yang ketakutan.
“Ketika itu, ia soal keselamatan, bukan untuk mengelak apa-apa,” katanya.
Dia juga mengaitkan pengalaman itu dengan insiden menimpa rakan senegara, Petra Kvitova yang pernah diserang penceroboh bersenjata di rumahnya.
“Selepas apa yang berlaku kepada Petra, kami tidak memandang ringan kehadiran orang asing di pintu rumah,” katanya lagi.
Marketa tidak beraksi sejak Adelaide International pada Januari lalu dan menarik diri daripada Terbuka Australia akibat kecederaan bahu.
Namun, dia kini disenaraikan untuk kembali beraksi di Terbuka Madrid bermula 21 April ini, dalam usaha perlahan-lahan bangkit semula.
“Saya masih cuba mencari jalan kembali, di dalam dan luar gelanggang.
“Saya juga sedang berusaha membersihkan nama saya, tetapi pada masa sama, saya perlu menjaga diri sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




