Ustaz Kazim sudah dibenarkan keluar hospital – abang

Ustaz Kazim sudah dibenarkan keluar hospital – abang

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital dan sedang berehat di kediamannya.

Perkara itu dikongsikan oleh abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

“Apa yang boleh saya nyatakan di sini bahawa adik saya telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat di rumahnya.

“Perkembangan positif ini amat mengembirakan kami ahli keluarga dan seluruh peminatnya. Kami berharap agar beliau beransur pulih,” tulisnya.

Bagaimanapun, Najmuddin memaklumkan bahawa adiknya itu masih memerlukan rawatan berterusan berikutan terdapat komplikasi kesihatan yang lain.

“Pihak hospital memberitahu rawatan susulan tetap akan dilakukan kepada beliau kerana terdapat implikasi jantung yang lain,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Najmuddin turut meminta orang ramai agar tidak menziarahi beliau buat masa ini bagi membolehkan proses pemulihan berjalan lancar.

“Buat masa sekarang hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan menziarahi,” kongsinya.

Sementara itu, Najmuddin turut menzahirkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada barisan doktor serta kakitangan Hospital Pakar KPJ Ipoh, selain seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan adiknya itu.

Terdahulu, Ustaz Kazim dilaporkan dimasukkan ke ICU di sebuah hospital untuk menerima rawatan memasang belon pada saluran darah beberapa hari yang lalu.

Perkara berkenaan dikongsikan di Facebook beliau dengan hantaran klip video yang memohon doa daripada orang ramai.

Dalam pada itu, Najmuddin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pendakwah itu berada dalam keadaan stabil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top