Polis siasat tuduhan fitnah terhadap MAIS

Polis siasat tuduhan fitnah terhadap MAIS

am@hmetro.com.com.my

Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan diterima pada Khamis, susulan penyebaran satu video TikTok oleh pemilik akaun dikenali sebagai ‘Ridzuan Ikhlas’ melalui platform IPK.TV.

“Menurut pengadu, kandungan video berkenaan didakwa mengandungi unsur fitnah apabila melemparkan tuduhan rasuah serta penggunaan imuniti istana yang didakwa sengaja dibuat bagi menjejaskan imej MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta orang ramai memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Media sebelum ini melaporkan, MAIS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman fitnah terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Jalan USJ 18/7, Subang.

Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius penularan video di TikTok pada Isnin lalu yang mengaitkan kononnya berlaku isu tunggakan bayaran serta salah urus melibatkan MAIS dalam projek berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top