Gol Haaland gugat impian Arsenal

Gol Haaland gugat impian Arsenal

Manchester: Erling Haaland muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Manchester City menewaskan Arsenal 2-1, sekali gus memberi tamparan besar dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola kini hanya tiga mata di belakang Arsenal dengan satu perlawanan dalam tangan, situasi yang jelas memihak kepada juara bertahan itu.

City terlebih dahulu membuka jaringan menerusi aksi solo menarik Rayan Cherki sebelum Arsenal bangkit menyamakan kedudukan hasil tekanan Kai Havertz terhadap kesilapan penjaga gol Gianluigi Donnarumma.

Namun, kualiti penyudah menjadi pemisah apabila Haaland meledak gol ke-34 musim ini pada babak kedua untuk memastikan kemenangan berharga buat City.

Arsenal sebenarnya berpeluang untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata, namun nasib tidak menyebelahi apabila beberapa percubaan terkena tiang gol selain kegagalan memanfaatkan peluang terbaik di penghujung aksi.

Kekalahan itu menambah tekanan terhadap skuad Mikel Arteta yang kini hanya mencatat satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir di semua pertandingan.

Dengan baki lima perlawanan, Arsenal berdepan risiko sekali lagi terlepas kejuaraan, manakala City kini berada di landasan terbaik untuk merampas takhta jika terus konsisten.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top