kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Shopee Malaysia memperkukuh peranannya dalam memperkasa usahawan asas tani tempatan apabila bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam melancarkan program KPKM Dunia Agro+.
Program itu bagi memperluas penyertaan agropreneur dalam ekonomi digital.
Menerusi inisiatif itu, seramai 200 usahawan dalam kategori makanan, minuman, snek dan produk segar akan dibimbing untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, di sini, baru-baru ini.
Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din berkata, pihaknya komited menyokong pembangunan agropreneur tempatan melalui inisiatif ShopeeRaiLokal.
Katanya, peserta akan menerima latihan berstruktur menerusi Shopee University termasuk kemahiran penstriman langsung, pengoptimuman penyenaraian produk dan strategi jualan dalam talian.
“Melalui bimbingan ini, kami menyasarkan usahawan dapat membina kemahiran digital bagi menjangkau lebih ramai pengguna secara terus, sekali gus memodenkan rantaian bekalan sektor pertanian,” katanya dalam kenyataan.
Program itu turut menyediakan pakej sokongan penjual bernilai RM320,000 bagi membantu meningkatkan keterlihatan kedai, menarik pelanggan serta mengembangkan peluang jualan di platform e-dagang.
Selain itu, peserta digalakkan memanfaatkan teknologi digital termasuk penggunaan penstriman langsung sebagai medium interaktif untuk meningkatkan pembabitan pelanggan.
Dalam pada itu, Chan berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta penting dalam memastikan usahawan dilengkapi kemahiran perniagaan digital yang kini menjadi keperluan utama.
Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang bertujuan membina ekosistem agromakanan lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.
“Pendigitalan membuka peluang lebih luas kepada usahawan tani untuk berkembang dan kekal berdaya saing dalam landskap perniagaan moden,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




