am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Seorang anak peneroka Felda cedera selepas ditembak sekumpulan lelaki yang dipercayai penyeludup lembu dalam cubaan mencuri di Kemahang 1, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an dilaporkan sedang tidur apabila sekumpulan antara empat hingga lima lelaki memasuki kampung dan cuba mencuri lembu milik penduduk.
Sumber berkata, mangsa menyedari perbuatan itu dan kekecohan yang berlaku menyedarkan penduduk kampung yang kemudian bergegas keluar dari rumah dan cuba mengepung penjenayah.
“Apabila mendengar jeritan mangsa, penduduk keluar dan cuba mengepung.
“Bagaimanapun, penjenayah melepaskan beberapa das tembakan, salah satunya terkena pada pipi mangsa,” kata sumber itu.
Mangsa dikejarkan ke hospital daerah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
NST sedang cuba menghubungi Ketua Polis Kelantan dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, satu lagi sumber mendakwa kumpulan itu dipercayai sebahagian daripada sindiket penyeludupan lembu yang aktif beroperasi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Mereka juga dipercayai bersekongkol dengan penduduk tempatan untuk mencuri ternakan bagi tujuan dijual semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




